Total Pageviews

Saturday, November 12, 2011

PENDIDIKAN di kolej adalah pelaburan masa depan, wang dan tenaga. Justeru, anda tentu mahukan pulangan daripada pelaburan yang dilakukan. Berikut adalah 10 cara bagaimana mendapat pulangan terhadap pelaburan anda:


  • HADIRKAN DIRI


    Ada mengatakan, 80 peratus kejayaan bergantung kepada diri sendiri. Apabila anda didorong perasaan tidak hadir kelas pada pagi itu, fikir semula sebegini: Anda membayar segala kos pembelajaran. Buat kira-kira untuk harga setiap kelas dan anda akan berfikir dua kali jika ponteng lagi.


  • BERFIKIR SECARA KRITIS


    Anda akan diperkenalkan kepada mata pelajaran baru atau tahap pembelajaran lebih tinggi. Dengar dengan lebih teliti dan catat segala nota sepanjang syarahan terutamanya info penting daripada pensyarah. Kenal pasti isi penting, konsep dan hujah yang cuba disampaikan. Tanya diri anda persoalan yang berbentuk ‘Bagaimana jika’, ‘di mana’ melihat apa yang anda pelajari daripada perspektif yang berbeza, bukan sahaja bagaimana pengajar atau buku teks anda menerangkan.


  • TANYA SOALAN

    Jika anda kurang jelas syarahan atau tutorial disampaikan, ajukan soalan. Atas beberapa sebab, pensyarah mungkin lebih suka anda bertanya soalan semasa atau selepas kuliah. Ada lebih suka segala bentuk persoalan dibincangkan sepanjang kelas. Catat pertanyaan anda dan ajukan pada masa sesuai.


  • WUJUDKAN KUMPULAN

    Anda akan mendapati perbincangan berkumpulan menggalakkan pemikiran kritikal. Anda akan mendengar daripada pelbagai orang yang mempunyai sudut pandangan dan kesimpulan

    yang berbeza di antara satu sama lain termasuklah anda. Buat kajian anda sendiri dan kemudian saling bertukar pandangan dengan empat atau lima orang yang berlainan, sekali atau dua minggu sekali untuk pemahaman yang lebih baik dan mendalam mengenai kerja kursus anda.


  • BINA RANGKAIAN

    Daftar dengan kelab atau persatuan atau pastikan diri anda terbabit dengan majlis pelajar. Ini adalah tempat terbaik untuk bertemu pelajar lain atau mentor yang berpotensi. Luangkan masa dengan menjalin perhubungan yang berkualiti di kolej kerana anda tidak tahu mungkin ia boleh membantu atau membuka peluang untuk anda pada masa akan datang.


  • URUSKAN MASA ANDA DENGAN BAIK

    Banyak perkara yang boleh anda lakukan di kolej. Cipta senarai semak anda sendiri dan pastikan anda mengikuti jadual tersebut sebaik mungkin. Dengan cara ini, anda akan memiliki pemahaman yang lebih baik dimana membantu melancarkan pengajian anda. Utamakan masa menelaah pelajaran.


  • MILIKI PENGALAMAN BERMUTU

    Bagi menambah ‘duit poket’, ramai pelajar melakukan pekerjaan sambilan sebagai pelayan atau pembantu jualan. Elak melakukan kerja sambilan sebegini melainkan anda ingin menimba pengalaman dan pengetahuan di dalam bidang hospitaliti dan pemasaran yang berkaitan dengan kursus anda. Manakala, bagi latihan amali pastikan anda mencari pekerjaan yang berkaitan dengan apa anda pelajari. Minta Kaunselor Akademik menyediakan anda peluang menjalani latihan amali yang mana sangat berguna buat anda pada masa akan datang.


  • AMBIL PELUANG MELAKUKAN PENYELIDIKAN

    Bincang dengan tenaga pengajar atau mereka yang lebih senior dalam semua projek berkaitan agar mereka tidak keberatan menawarkan pertolongan kepada anda dalam mengumpul data, analisis data atau perkara lain yang berkaitan. Anda akan memperolehi kemahiran yang tidak ternilai, membina hubungan baik dengan pihak yang mungkin sebelum ini anda tidak pernah berjumpa dan juga mempertingkatkan kualiti diri anda.


  • MEMBINA GAYA HIDUP SIHAT

    Badan sihat, minda juga sihat. Apabila anda sihat dan bertenaga kerana melakukan aktiviti fizikal dengan kerap, anda akan lebih aktif dan dapat menyelesaikan segala tugasan dengan sempurna dan kurang menimbulkan masalah yang tidak diingini seperti penangguhan kerja. Ambil peluang menggunakan kemudahan yang tersedia di kolej anda, buang segala tabiat yang tidak sihat dan dengan cara ini anda akan mempertingkatkan gaya hidup sihat.


  • BERSERONOKLAH

    Hadiri parti, ikuti pelbagai aktiviti dan tonton konsert. Luahkan segala rasa gembira, sedih dan pelbagai rasa yang ingin anda sampaikan. Lakukan perkara yang anda tidak pernah lakukan sebelum ini. Perluaskan lingkungan sosial anda. Satu hari, anda akan mengimbau kembali bahawa masa ini adalah masa yang terbaik dalam hidup anda.
  • No comments:

    Post a Comment